5 Tips Penting Membuat Cupcake



Sebenarnya tips membakar cupcakes memang banyak. Namun berdasarkan pengalaman dari Cupcake Kraft, saya ingin kongsikan 5 tips utama yang boleh mempengaruhi kualiti cupcakes yang akan dihasilkan. Jika anda seseorang yang baru nak belajar membuat cupcake(beginner), pastikan anda baca dan tahu tentang tips ini untuk meningkatkan keyakinan dan keberkesanan dalam menghasilkan cupcake yang sedap, lembut dan gebu.




Tips 1: Timbang bahan-bahan mengikut resepi dengan tepat (pastikan jangan terkurang atau terlebih dari sukatan asal)
  • Bahan-bahan seperti tepung dan gula biasanya ditimbang menggunakan alat penimbang digital/analog ataupun menggunakan cawan.(lazimnya sukatan dalam gram(g/gm) atau cawan(cup))
  • Bahan-bahan cecair seperti susu dan air pula boleh ditimbangkan menggunakan cawan yang mempunyai garis penyukat atau cawan penyukat (lazimnya sukatan dalam cawan(cup) atau mililiter(ml))
  • Bahan-bahan kecil boleh disukat menggunakan sudu penyukat (lazimnya dalam sukatan sudu besar(sb)/tablespoon(tbs), sudu teh (sk)/teaspoon(tsp).
Tips 2: Keluarkan bahan-bahan yang disimpan di dalam peti sejuk seperti telur(eggs) dan mentega(butter) lebih awal dan dibiarkan di dalam suhu bilik selama 30minit. Bagi bahan-bahan yang telah berada di suhu bilik bolehlah menggunakannya terus.
  • Tujuannya untuk mengelakkan bahan-bahan resepi yang anda akan gaulkan dari menjadi berketul-ketul menyebabkan kita sukar untuk mencampurkannya dengan sebati.
Tips 3: Panaskan oven 10-15minit sebelum membakar cupcake
  • Tujuan untuk memastikan pemanasan berlaku sebelum memulakan pembakaran bahan-bahan digaul(batter) supaya mendapat pembakaran yang sekata dan menghasilkan cupcake yang cantik.
  • Semasa pembakaran, jika ia masak terlalu cepat dan bertukar gelap, ini bermaksud suhu ketuhar anda agak tinggi, segera turunkan suhu sebanyak 10-20 darjah Celcius. Jika tidak, cupcake akan masak di bahagian luar tetapi tidak masak di bahagian dalam.
  • Suhu dan masa pembakaran cupcake adalah berbeza mengikut jenis ketuhar (oven). Dapatkan suhu yang tepat untuk membakar cupcake anda. Jadikan arahan resepi seperti panduan.
  • Ada resepi yang menyatakan suhu ketuhar/oven dalam darjah farenheit (F) anda boleh menukarkannya kepada unit darjah celcius(C) dengan merujuk kepada link ini http://www.onlineconversion.com/temperature.htm
Tips 4: Elakkan memukul campuran bahan-bahan cupcakes (batter) terlalu lama
  •  Ini akan menyebabkan hasil cupcakes menjadi liat dan keras. Memadai jika bahan-bahan digaulkan dengan sebati.
  • Cara memukul bahan-bahan mengikut arahan dalam resepi. Jika arahan memukul dengan tangan gunakan "whisk". Begitu juga jika diarah menggunakan mixer.
Tips 5:  Gunakan penguji kek(cake tester/skewer) untuk menguji jika cupcake dah masak.
  • Setelah masak, cucukkan skewer di tengah-tengah cupcake. Jika ia keluar bersih, segera keluarkan cupcake dari ketuhar/oven. Jika dibiarkan lama-lama ia akan terus dimasak dan ada kemungkinan cupcake akan bertukar lebih gelap atau hangus. 
  • Jika skewer keluar dengan kesan cupcake, ini bermaksud ia kurang masak (juga boleh dilihat warna masih kelihatan agak cerah) maka anda perlu tambahkan masa pembakaran dalam 2-5minit.
  • Setelah dikeluarkan dari ketuhar/oven, sejukkan cupcakes di atas rak dawai kek sebelum dihias dengan topping. Jangan deko ketika cupcake masih panas, besar  kemungkinan deko/topping anda akan menurun ke bawah. Cupcake yang disejukkan akan menurun sedikit jika dibandingkan dengan keadaan masih panas.

Idea Cupcake



Tahukah anda cupcake secara traditionalnya adalah hidangan untuk kanak-kanak? Namun kerana rasanya yang sangat sedap walaupun dimakan begitu sahaja menjadikannya juga amat diminati oleh golongan orang dewasa. Ini terbukti dengan wujudnya banyak laman web yang memaparkan pelbagai gambar-gambar cupcakes yang dikongsikan oleh para pemilik laman web dan promosi daripada mereka yang berniaga cupcakes secara online.
Idea cupcake?
 
Ramai yang memilih cupcakes kerana ia mudah dihidangkan kepada tetamu-tetamu majlis keramaian. Lazimnya majlis-majlis yang banyak menyajikan cupcakes adalah seperti :
  • Sebagai hantaran untuk Pertunangan/Perkahwinan
  • Sempena Hari Lahir untuk kanak-kanak/orang dewasa.
  • Sempena tamat pengajian (Graduation)
  • Majlis-majlis kesyukuran
  • Akviti kanak-kanak di sekolah
  • Hari Guru
  • Musim perayaan dan banyak lagi.
Idea pemilihkan corak dan dekorasi cupcake selalunya mengikut tujuan/konsep majlis dan tema warna yang dikehendaki. Antara warna-warna yang glamer tentulah dari tema putih, merah jambu, merah, kuning, jingga (oren), biru, ungu dan hijau.
Selain daripada warna-warna biasa di atas, ada juga yang ingin membuat kelainan menggunakan warna-warna campuran seperti turquiose (biru kehijauan), merah hati dan hitam.

Beli atau buat sendiri?

Terpulang kepada individu masing-masing. Anda boleh menempah di kedai bakeri yang sedia ada ataupun daripada mereka yang menjual cupcake secara online.

Kalau ingin mengurangkan kos, apa kata membuat cupcakes anda sendiri? Seperti yang saya katakan di post lalu, membuat dan mendekorasi cupcake bukan sesuatu yang sukar. Contohnya seperti di bawah ini, chocolate cupcakes di dalam solo cup yang dihiasi dengan topping coklat (chocolate frosting).
 
Anda juga boleh menjadikan aktiviti membuat cupcake sebagai hobi yang menarik untuk mengisi lapang. Selain dapat merancangkan majlis sendiri, anda juga dapat menghasilkan cupcake daripada buatan tangan sendiri untuk dihadiahkan kepada keluarga, saudara-mara, rakan-rakan ataupun sia dia yang tersayang. Tentu mereka yang menerimanya akan berasa sangat gembira dan anda pun akan tersenyum lebar.

InsyaAllah di post akan datang, saya akan cuba kongsikan lebih banyak lagi topik-topik berkaitan dengan cupcake sama ada dari segi pembuatan, mendekorasi sehinggalah ke fesyen cupcake.

Jumpa lagi!

Kenali Cupcake a.k.a Kek Cawan

Jom kenali cupcake a.k.a kek cawan sebagai pembuka tirai kepada blog cupcake kraft ini. Anda semua tentu tahukan, “Cupcake” atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai kek cawan ini merupakan kek yang bersaiz kecil yang biasanya dihidangkan untuk seorang. Saiznya yang kecil dan comel menjadikan ia mudah dinikmati dan amat disukai bukan sahaja oleh golongan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa pada zaman kini.

Menurut Wikipedia, cupcake telah wujud pada abad ke-18 tetapi tidak dapat dikesan dari mana asal-usulnya. Sehingga  abad ke-21, membuka kedai menjual cupcakes menjadi satu trend yang telah bermula di Amerika Syarikat. Ianya merebak sehingga ke negara-negara lain. Jika pada mulanya hanya kek cawan asas, kini ia telah ditambah dengan dekorasi “topping” atau dikenali sebagai “frosting”.   Begitu juga dengan negara kita, Malaysia yang tidak ketinggalan dilanda fenomena membuat dan mendekorasi cupcake sejak beberapa tahun yang lalu. Ini secara tidak langsung telah melahirkan ramai yang berkebolehan membuat cupcake dan menghasilkan “masterpiece” yang kreatif.

Saya tahu masih ramai yang sangat berminat untuk belajar membuat dan mendekorasi cupcake,  tetapi tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengikuti kelas-kelas yang semakin banyak ditawarkan di luar sana. Untuk pengetahuan anda, membuat cupcake bukanlah sesuatu yang sukar, yang penting anda hendaklah mengetahui asas bahan-bahan dan teknik yang betul untuk menghasilkan cupcake yang sedap, lembut dan gebu. Yang paling penting, buat sesesuatu dengan hati yang ikhlas dan penuh kesungguhan, insyaAllah semuanya akan menjadi.

Jumpa lagi di post akan datang!

up